KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha
menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan
murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk
memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.
Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat
murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.
KSSR
digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan
dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid
patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi
aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran
ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan
pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.
Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.
Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?
KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6
tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan,
Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta
Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan
memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).
KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu
Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu.
Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan
Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)
Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu?
Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran
baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas,
Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih
berkesan.
Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas?
Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul
Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan
diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam
Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.
Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?
Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan
oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang
menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa
yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz
chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang
sesuai.
Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?
KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua
guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan
sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti
berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.
S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?
J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru
dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen
nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan
kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.
S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?
J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial
(PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen
yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.
Berita Harian Online: 29 Disember 2011
Maklumat Terkini KSSR sila layari laman Web Rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum BPK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan